Jawatan perlu bantu pelajar tingkat literasi maklumat

KEMENTERIAN Pelajaran perlu mewujudkan jawatan pustakawan profesional di perpustakaan sekolah bagi membangunkan kemahiran literasi maklumat dan memupuk tabiat membaca di kalangan pelajar.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaacob, berkata pewujudan jawatan itu penting bagi memastikan pelajar sekolah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan dan bukan sekadar meminjam buku saja.

Beliau berkata, pendedahan kepada budaya perpustakaan dan literasi maklumat di peringkat awal itu penting sebagai persiapan pelajar mengikuti pengajian tinggi yang menghadapi ledakan maklumat berikutan perkembangan pesat sumber rujukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kebanyakan pelajar lemah dalam memanfaatkan kemudahan perpustakaan di universiti kerana mereka buat kali pertama terdedah kepada pusat rujukan besar yang dilengkapi bahan bercetak dan ICT.

“Ini kerana di peringkat sekolah tiada pustakawan profesional membimbing mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan, sebaliknya hanya pustakawan di kalangan pelajar yang sekadar diberi tugas membuat katalog dan menguruskan pinjaman serta pemulangan buku.

“Jika kementerian boleh mewujudkan jawatan bukan akademik seperti kaunselor, apa salahnya jawatan pustakawan profesional diadakan di sekolah bagi memupuk budaya perpustakaan sejak awal lagi,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Raja Abdullah berkata, antara peranan yang boleh dimainkan pustakawan profesional di sekolah ialah memupuk tabiat membaca di kalangan pelajar dengan menyarankan buku sesuai dibaca mengikut minat dan tahap umur mereka.

Beliau memberi contoh murid Tahun Satu dan Dua bermula dengan bacaan buku cerita dongeng atau kisah rakyat sebelum disaran membaca buku siri penyiasatan dan pengembaraan mulai Tahun Tiga, sementara novel serta buku kerjaya bagi pelajar sekolah menengah.

Pustakawan profesional juga, katanya, dapat memastikan sekolah tidak ketinggalan menyediakan sumber rujukan ICT atau pangkalan data bersesuaian untuk rujukan pelajar serta membimbing mereka menggunakannya bagi mengelakkan kemudahan internet disalahgunakan.

“Apabila didedahkan kepada budaya perpustakaan dan literasi maklumat sejak dibangku sekolah, pelajar tidak akan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kemudahan internet atau membuang masa mencari maklumat yang terlampau.

“Mereka juga akan lebih menghargai budaya keilmuan dan kesarjanaan yang begitu sinonim dengan perpustakaan, sekali gus tidak mudah tertarik dengan gangguan seperti kafe WiFi yang boleh membawa kepada masalah sosial seperti lepak jika tidak dimanfaatkan sewajarnya,” katanya.